fb fb fb fb fb

Peranan komuniti India Muslim perkasa institusi Islam terus diperkukuh

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Oktober - Peranan komuniti India Muslim dalam memperkasa Institusi Islam terus diperkukuh menerusi penganjuran Konvensyen Pemerkasaan Pengurusan Masjid, Madrasah dan Surau India Muslim Seluruh Malaysia 2025 yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata majlis julung kali itu menghimpunkan para penggerak institusi Islam dari seluruh negara.

Ia sebagai platform memperkukuh tadbir urus, memperluas jaringan kerjasama, serta memperkasa fungsi masjid, madrasah dan surau sebagai pusat penyatuan ummah.

"Masjid ini sepatutnya tidak boleh hanya menjadi tempat untuk kita menunaikan solat lima waktu sahaja. Ia perlu menjadi pusat pendidikan, pusat komuniti sosial, pusat untuk persatuan menyatupadukan penduduk setempat.

"Semuanya perlu diselesaikan dan dibimbing di peringkat masjid supaya dapat lihat bahawa masjid ini memainkan peranan yang besar. Konvensyen yang diadakan pada hari ini, matlamatnya mesti menuju ke arah tersebut", katanya.

Beliau ditemui ketika menyempurnakan Konvensyen Pemerkasaan Pengurusan Masjid, Madrasah dan Surau India Muslim Seluruh Malaysia 2025 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Majlis ini telah menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada pentadbir masjid, madrasah, surau dan guru agama. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar institusi Islam terus mesra dan inklusif, khususnya dalam mendekati generasi muda, agar masjid kekal relevan sebagai pusat ilmu dan kebajikan.

ROSLINA BINTI DIN