ISKANDAR PUTERI, 21 April- Kementerian Komunikasi sentiasa terbuka untuk menambah baik mutu perkhidmatan komunikasi, selaras perubahan medium penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata penambahbaikan itu melibatkan pelbagai platform media sama ada arus perdana atau media sosial.
“Kita selalu ada ruang untuk tambah baik, kita pun perlu akui bahawa zaman sudah berubah, dahulu rakyat bergantung kepada media arus perdana sebagai sumber rujukan, tetapi kini media sosial juga menjadi antara sumber maklumat mereka.
“Cabarannya termasuk semua pihak boleh jadi pencipta kandungan. Jadi walaupun RTM dan Bernama masih meneruskan kerja mereka, tetapi mungkin audiens yang mereka dapat adalah kurang berbanding dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-47 Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia, di sini hari ini.
Selain itu, usaha menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat memainkan peranan penting kerana sebilangan pengguna media sosial ketika ini lebih gemar membaca tajuk utama, berbanding kandungan penuh sesuatu berita atau maklumat.