KEPALA BATAS, 16 Mac- Peranan kartel antara faktor yang menyebabkan harga beras tempatan sukar dikawal kerajaan.
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata ia susulan dipercayai terdapat empat hingga lima syarikat besar yang mengawal pasaran itu sehingga 80 peratus.
Menurut beliau, kartel terlibat melakukan pembelian padi dengan harga tinggi supaya dapat menjual beras juga pada harga yang lebih tinggi.
Antara harga yang ditawarkan kartel kepada pesawah adalah bermula RM1,004 hingga RM1,850 satu tan berbanding harga lantai iaitu RM1,300.
"Dalam libat urus, jelas menunjukkan kartel sedang mempengaruhi pesawah-pesawah menawarkan harga yang lebih mahal. Dalam masa yang sama juga, menekan di peringkat pengguna dengan menjual pada harga yang lebih mahal.
Ia sebenarnya takde batas. Mereka berlumba-lumba beli, kemudian akan tawar dari RM1,400, RM1,500,RM1,700 sehingga sekarang ni RM1,850 per tan," kata Datuk Syed Abu Hussin kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Penggerak Madani Zon Utara di Penang Golf Resort, Bertam, di sini.
Jelasnya, kesemua isu berkaitan krisis beras tempatan akan dibentang pihaknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu mesyuarat yang dijangka diadakan pada 20 Mac depan.
Pada masa sama, beliau turut memberi amaran kepada kartel-kartel terlibat untuk menghentikan perbuatan yang mementingkan keuntungan semata-mata memandangkan ia boleh membawa kepada krisis ketiadaan beras tempatan dalam negara.