fb fb fb fb fb

Peranan ibu bapa penting dalam tumbesaran kanak-kanak

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/ BERNAMA

SUNGAI PETANI, 10 Mei- Penglibatan ibu bapa khususnya dalam memberikan kasih sayang dan sokongan psikologi memainkan peranan penting terhadap tahap tumbesaran kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun Kementerian Kesihatan melancarkan pelbagai kempen, masalah mungkin timbul sekiranya kanak-kanak tidak mendapat perhatian secukupnya daripada ibu bapa.

"Tumbesaran anak-anak bergantung kepada sejauh mana mereka memainkan peranan, memberikan belaian kasih sayang, sokongan psikologi, perubahan tingkah laku pada anak-anak yang mesti bermula turut dipengaruhi oleh ibu dan ayah", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI (Health Promotion in Learning Institutions) bersama Didi & Friends Zon Utara di sebuah pusat membeli-belah di Sungai Petani.

Katanya, dalam usaha memastikan kempen pendidikan kesihatan mencapai matlamatnya, Kementerian Kesihatan sentiasa berinovasi dan berkreativiti dalam mempersembahkan produk yang mampu menarik minat kanak-kanak.

Program Kembara Sihat Sejahtera HePiLI bersama Didi & Friends diadakan untuk mempromosikan kesihatan di institusi pendidikan dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tingkah laku kesihatan kanak-kanak.

Program terbabit yang mula dilaksanakan pada November tahun lalu sehingga 2025, membabitkan 17 lokasi di seluruh negara.

ROSLINA BINTI DIN