Perak tubuh Majlis IPT, perkukuh peluang pendidikan kebolehpasaran graduan

Datuk Khairudin ( tengah) bersama keanggotaan MIPT Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh/Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 11 Februari – Penubuhan Majlis Institusi Pendidikan Tinggi (MIPT) Perak Darul Ridzuan dijangka memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini menerusi penyelarasan lebih tersusun antara institusi pengajian tinggi (IPT), kerajaan negeri dan industri, sekali gus memperluas peluang pendidikan, latihan serta kebolehpasaran graduan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan MIPT Perak menyelaras IPT, kerajaan negeri dan industri untuk memperluas peluang pendidikan dan latihan.
  • MIPT bertujuan memperkukuh sinergi pembangunan modal insan, penyelidikan dan inovasi demi sokong pembangunan sosioekonomi.
  • UPSI dilantik menggerakkan MIPT sebagai pemacu strategik bagi memperkasakan pendidikan tinggi negeri.
  • MIPT selaras dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 dan PPTM 2026–2035 untuk tingkatkan kebolehpasaran graduan dan daya saing pendidikan tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, MIPT yang menghimpunkan semua IPT awam dan swasta di negeri itu bertujuan memperkukuh sinergi dalam pembangunan modal insan, penyelidikan dan inovasi demi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negeri.

“Penubuhan MIPT adalah organisasi julung kali ditubuhkan di Negeri Perak dan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ini meletakkan Perak sebagai perintis dalam tadbir urus pendidikan tinggi bersepadu di peringkat negeri,” katanya.

Menurut beliau, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diberi amanah untuk menggerakkan MIPT sebagai langkah strategik memacu agenda pendidikan tinggi negeri secara lebih tersusun dan berkesan.

Datuk Khairudin berkata, majlis itu akan berperanan sebagai badan penasihat serta pelaksana pelbagai program dan inisiatif strategik bagi memperkasa pendidikan tinggi, selari dengan sasaran Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan inklusif, mampan dan berimpak tinggi.

“Melalui MIPT, sinergi kolaborasi antara IPT, industri, komuniti dan agensi kerajaan dapat diperkukuh dalam aspek pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, TVET, keusahawanan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kelestarian negeri,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan MIPT juga sejajar dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 yang memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi, kualiti dan daya saing pendidikan tinggi negara.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan mandat diberikan kerajaan negeri untuk menerajui MIPT sebagai langkah tepat dalam mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih sihat dan progresif.

Menurut beliau, MIPT akan menjadi entiti sokongan strategik kepada kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik, penyelidikan, pembangunan komuniti dan modal insan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Datuk Khairudin atas kepercayaan diberikan kepada UPSI untuk merealisasikan fungsi MIPT Perak.