fb fb fb fb fb

Perak tuan rumah Hari Anggota Bomba Sedunia 2024

Foto hiasan

IPOH, 21 April- Perak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 peringkat kebangsaan berlangsung pada 4 Mei depan kata Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.

Sambutan itu akan diadakan di taman tema terkemuka Lost World of Tambun dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"KPKT juga berjaya mendapat dana daripada kerajaan berjumlah RM267 juta bagi perolehan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan peruntukan itu termasuk pembelian 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang canggih bernilai RM147 juta.

"Peruntukan ini adalah tertinggi dalam sejarah untuk perolehan pasukan JBPM sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada Wira Merah negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama pengamal media anjuran Ibu Pejabat DAP Perak di sini.

Pelbagai program dan aktiviti dianjurkan sepanjang sambutan berkenaan antaranya pertunjukan bom air dan helikopter serta kemunculan 'Abang Bomba' bertubuh sasa yang bakal mencuri tumpuan pengunjung hadir.

Nga berkata Perdana Menteri juga dijangka merasmikan Taman Rekreasi MADANI pertama, yang telah siap sepenuhnya di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun pada hari sama.

"KPKT akan memperuntukkan RM50 juta untuk membina taman rekreasi awam di seluruh negara dan sejumlah 22 taman rekreasi awam dibina di Perak membabitkan peruntukan sebanyak RM11 juta," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI