IPOH, 6 Disember- Kerajaan Perak meningkatkan aktiviti penguatkuasaan termasuk pengeluaran notis dan kompaun sebagai usaha menangani masalah individu merokok di tempat awam.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata anggaran nilai kutipan kompaun berkaitan penguatkuasaan itu bagi 2022 adalah sebanyak RM1.305 juta, manakala bagi tempoh Januari hingga September tahun ini telah mencecah RM2.114 juta.
"Jumlah operasi penguatkuasaan sepanjang 2022 adalah sebanyak 2,603 aktiviti, manakala bagi Januari hingga September tahun ini mencatatkan 2,274 aktiviti.
"Pengeluaran notis Seksyen 32B Akta Makanan 1983 setakat September tahun ini adalah sebanyak 8,465 notis berbanding 5,222 notis dikeluarkan sepanjang tahun lepas," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
A. Sivanesan menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) yang ingin tahu langkah-langkah penguatkuasaan termasuk langkah proaktif diambil kerajaan negeri bagi menangani masalah perokok di tempat awam.
Tambahnya, sepanjang tahun 2022 dan 2023, sebanyak 108 aktiviti kempen advokasi telah dijalankan, merangkumi aktiviti di IPTA (institusi pengajian tinggi awam), sekolah, masjid, kompleks membeli-belah, jabatan kerajaan dan komuniti.