fb fb fb fb fb

Perak setuju bekal air kepada Pulau Pinang - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau peta laluan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang semasa melawat reruai MRT pada Majlis Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara dan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong

GEORGE TOWN, 5 Mei - Kerajaan Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Kita menerima berita baik kerana Tuanku Sultan Nazrin dan kerajaan negeri, Menteri Besar Datuk Seri Saarani bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Sungai Perak dan mengalir melalui industri hijau Kerian dan sekurang-kurangnya ke Seberang Perai. Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.

"Saya (juga) percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan Kedah sejak akhir-akhir ini, mudah-mudahan dapat kekal dan saya percaya boleh dirunding cara yang lebih profesional keperluan Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dari soal perbekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Pulau Pinang, di sini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata projek Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP) akan memfokuskan kepada pembangunan sektor tenaga hijau selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Pelaksanaannya dijangka memacu pertumbuhan serta membuka peluang pekerjaan sekali gus menarik lebih banyak pelaburan asing yang kini meletakkan syarat untuk melabur dalam sektor berkenaan.

"Pemilihan kawasan itu dengan kerjasama kerajaan negeri Perak akan membantu untuk memacu pertumbuhan yang menyegarkan memberi peluang pekerjaan dan memberi fokus tentang dasar kita tentang transisi tenaga. Peralihan tenaga dan fokus itu akan memberikan tarikan kepada pelabur luar," katanya.

Dalam perkembangan lain Anwar berkata, Program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dipertingkat bagi memenuhi kelangsungan tenaga pakar dalam bidang teknologi dan kejuruteraan.

Katanya, latihan itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan melibatkan semua institusi serta tidak mengetepikan masyarakat luar bandar.

"TVET itu akan pastikan dilatih siapa saja yg mahu termasuk Maahad Tahfiz. Hafal Quran tapi beri ruang kalau dia sanggup bagi latihan TVET. Kita tengok umpanya, TVET itu harus ditingkatkan memenuhi, sekarang kita ada tiga, empat hari yang lalu, Microsoft RM10.5 billion perlukan puluhan ribu pekerja dan kalau ikut semua ekosistem ratus ribu pekerja yang harus dilatih. Apa kita ada keupayaan itu?

"Peringkat latihan baharu ini diberikan keutamaan, kalau tidak kita akan ketinggalan. Kejuruteraan kita kurang 30,000 orang sekarang. Matematik dan sains, anak-anak kita dah mula kurang minatnya.

"Kerana kalau kita tidak gapai dan kuasai bidang ini kita akan ketinggalan dan kalau kita hanya ambil untuk elit bandar akan berlaku kesenjangan dengan orang desa, orang kampung," kata Anwar.

TETITIA YUSOFF