IPOH, 10 Januari- Kerajaan Perak merekodkan lebihan pendapatan sebanyak RM62.4 juta tahun lepas berbanding RM29.6 juta yang dicatatkan pada 2022.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata angka tersebut adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negeri berkenaan dan pelbagai faktor utama menyumbang kepada peningkatan itu termasuk lonjakan dalam hasil cukai.
"Kita meletakkan defisit itu dengan andaian kita boleh mengatasi defisit. Namun, dengan pencapaian pendapatan baharu ini termasuk tahun lepas menerusi projek perlombongan nadir bumi lantanid.
"Jadi, itu yang menjadikan kita dapat lebihan (surplus). Saya yakin dengan momentum itu, dengan cara, kaedah dan kerja kuat kakitangan kerajaan Perak ini, pada tahun 2024 pun akan dapat lebihan ini lagi," kata Saarani kepada pemberita pada majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2024 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak, di sini.
Tambah beliau, prestasi kewangan negeri juga menunjukkan pengukuhan yang membanggakan dengan mencatatkan jumlah RM1.21 bilion sepanjang tahun lalu.