fb fb fb fb fb

Perak perbanyakan sumber alternatif air, persediaan jika berlaku gangguan bekalan

Foto Bernama

BAGAN SERAI, 6 November - Perak berhasrat untuk memperbanyakkan sumber air khususnya daripada bawah tanah, sebagai bekalan alternatif pada masa hadapan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air Dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sumber berkenaan boleh digunakan bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air terutamanya ketika fenomena El Nino melanda negara.

"Sekiranya berlaku kita ada pilihan, tidak bergantung sangat kepada air sungai, tasik dan juga lombong kita ada alternatif untuk air bawah tanah dan inilah buktinya dimana kawasan yang berhampiran dengan kerian seperti Larut Matang dan Selama dia juga boleh menggunakan kaedah sama untuk dibekalkan air kepada loji-loji rawatan di sana," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Telaga Pengeluaran Air Bawah Tanah, Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia kepada Lembaga Air Perak (LAP) di Loji Rawatan Air Gunung Semanggol, di sini.

Tambah Mohamad Nizar, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Mineral dan Geosains telah membelanjakan RM1.5 juta bagi melaksanakan projek perintis pembangunan telaga pengeluaran air bawah tanah dan sistem pengepaman untuk Loji Rawatan Air Gunung Semanggol.

Katanya, pembinaan dua telaga pengeluaran air bawah tanah tersebut dapat mengeluarkan kapasiti air sebanyak 2.5 Juta liter sehari.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN