fb fb fb fb fb

Perak mahu wujudkan pusat proses nadir bumi

(Menteri Besar Perak , Datuk Seri Saarani Mohamad)

IPOH, 26 Januari- Perak berhasrat untuk mewujudkan satu pusat pemprosesan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) sebagai aktiviti industri hiliran di negeri itu.

Menteri Besar , Datuk Seri Saarani berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan semula peruntukan RM20 juta untuk kajian deposit sumber mineral lain di Perak.

Menurutnya, melalui Pusat Pemprosesan NR-REE ini, semi-produk dan produk akhir yang lebih bernilai tinggi dapat dihasilkan berbanding produk mentah.

"Sebab kita yakin di Perak ini bukan sahaja Lanthanide ada banyak lain lagi sumber mineral yang ada, dengan RM20 juta yang diberikan untuk menjadi deposit bagi mineral lain. Kita minta, mudah-mudahan diluluskan," katanya.

Saarani berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di Ipoh.


(Datuk Seri Saarani pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2023 di Ipoh)

Perak telah meneroka peluang besar dalam sektor perlombongan NR-REE yang merupakan bahan mineral bernilai tinggi di pasaran dunia dengan pelaksanaan projek perintis di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak.

Dalam perkembangan lain, kerajaan Perak mensasarkan peningkatan 10 peratus kutipan pelbagai hasil tanah iaitu kira-kira RM780 juta bagi tahun 2023.

Saarani berkata strategi kutipan hasil perlu diperkemas termasuk gerak kerja intensif perlu dirancang.

Antaranya mengemaskini peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah yang melibatkan kadar-kadar caj yang telah lama diguna pakai dan mempercepatkan sesuatu proses permohonan permit atau lesen.

"Dengan kecekapan yang ada apatah lagi kalau kita dapat menunaikan atau aplikasi digital permohonan dan pembayaran secara digital itu akan mempermudahkan kutipan jadi saya yakin sasaran itu boleh dicapai malah mungkin lebih kerana kakitangan kita telah pun terlatih untuk penggunaan digital," ujarnya.

Pada 2022, kutipan hasil tanah negeri Perak mencapai 100 peratus iaitu berjumlah hampir RM700 juta.

Media Baharu