Perak laksana Program “Jualan Ikan Murah” setiap hari Jumaat

Program ini bertujuan membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan pada harga yang lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

IPOH, 19 Januari – Kerajaan negeri Perak menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan melaksanakan Program Jualan Ikan Murah LKIM Sejahtera Rakyat di kesemua 12
daerah di negeri itu sepanjang tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Jualan Ikan Murah dilaksanakan setiap Jumaat di kawasan terpilih, khususnya luar bandar, di semua 12 daerah Perak.
  • Jualan di tapak kekal lima lokasi setiap daerah dengan potongan harga sekitar 30 hingga 40 peratus berbanding pasaran.
  • LKIM jamin bekalan mencukupi dan mengalu-alukan penyertaan usahawan sedia ada serta usahawan baru.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, program Jualan Ikan Murah ini akan dilaksana pada setiap hari Jumaat di kawasan-kawasan terpilih, khususnya di kawasan luar bandar.

Program akan dilaksanakan di lima lokasi tapak kekal yang telah dikenal pasti di setiap daerah.

“Bukan sahaja sempena hari perayaan, sepanjang tahun ini termasuk pada tahun depan, kita (LKIM) akan teruskan penjualan ikan murah ini demi kesejahteraan rakyat, murah daripada harga pasaran di antara 30 peratus hingga 40 peratus, ” jelas beliau pada sidang media Program Jualan Ikan Murah LKIM Sejahtera Rakyat di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Pihak LKIM turut memberi jaminan bekalan ikan adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan program berkenaan.

LKIM turut mengalu-alukan penyertaan usahawan sedia ada dan usahawan baharu untuk bersama-sama menyertai program ini.

Langkah itu selaras dengan pengeluaran hasil perikanan negeri Perak yang tinggi di samping memperkukuh rantaian bekalan serta keterjaminan makanan negara.