fb fb fb fb fb

Perak jamin bekalan makanan, keperluan asas mencukupi menjelang Aidilfitri

Datuk Mohd Zolkafly Harun

IPOH, 2 April- Kerajaan Negeri Perak memberi jaminan bekalan makanan dan barangan asas menjelang sambutan Aidilfitri ini mencukupi.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan kekurangan bekalan daripada pengguna.

"Dari segi telur, minyak, setakat hari ini tidak ada timbul masalah. Kita berharap supaya perkara-perkara yang berlaku masa lalu tidak akan berulang lagi sama ada bekalan daging, bekalan ayam, minyak, beras, beras pulut dan sebagainya.

"Semoga masyarakat dapat menikmatinya. Begitu juga masyarakat bukan Islam turut bersama-sama menikmati sempena Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan anjuran TT Group of Companies bersama-sama 10 badan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai persiapan menjelang Aidilfitri, kerajaan negeri bersama-sama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak akan menganjurkan Jualan Agro Madani Pra Syawal 2024 peringkat negeri.

Ia bakal diadakan di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng selama lima hari iaitu bermula 5 hingga 9 April ini.

Program itu menawarkan barangan makanan pada harga yang lebih rendah dan berkualiti serta mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Sebanyak 180 unit jualan Kombo Madani iaitu set yang mengandungi seekor ayam, kentang dan bawang akan dijual pada kadar RM10.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI