fb fb fb fb fb

Perak harap MOTAC beri perhatian bangunkan Lembah Lenggong

Foto FB MB Perak

LENGGONG, 30 Jun- Kerajaan Perak berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi perhatian serius dalam membantu membangunkan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Lembah Lenggong.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bantuan seperti dana dan peruntukan tambahan daripada MOTAC penting bagi pembangunan infrastruktur pelancongan termasuk berkaitan Lenggong Geopark.

MOTAC saya tahu dia sudah belanja wang yang besar di Melaka, juga di Langkawi. Jadi, saya yakin ini adalah masanya untuk mereka datang ke Perak khususnya di Lenggong ini."

"Ia bagi melihat kepada momentum yang sudah kelihatan sangat baik. Kalau mereka tidak datang untuk membantu, dia akan menjadi terencat momentum sedia ada, bukan sahaja momentum orang ramai, momentum kakitangan dan pegawai yang berada di sini," kata Datuk Saarani kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Sambutan Ulang Tahun ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Lenggong Outdoor Festival 2024, di sini.

Tambahnya, kehadiran pengunjung ke Lembah Lenggong terutama daripada luar semakin meningkat dan ia memberi manfaat khususnya dalam menjana pendapatan penduduk setempat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM