fb fb fb fb fb

Perak guna pendekatan bersepadu, tarik minat pelancong asing sertai MM2H - Saarani

Foto BERNAMA

IPOH, 6 Disember- Kerajaan Perak menggunakan pendekatan bersepadu bagi menarik lebih ramai warga asing untuk melabur, bekerja, belajar dan bersara bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Justeru, jabatan dan agensi berkaitan akan diperkasa demi meningkatkan promosi pelaburan, pelancongan, dan pendidikan di negeri tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata berdasarkan rekod e-Tanah, dari tahun 2020 hingga kini, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG) telah meluluskan empat permohonan perolehan hartanah oleh peserta MM2H melibatkan kutipan levi lebih RM50,000.

"Mereka ini mesti ada wang mencukupi untuk tinggal di Malaysia. Gaji yang besar untuk berbelanja di Malaysia. Oleh sebab itu, kita tetapkan kalau mereka tidak mempunyai kewangan yang kukuh maka dia tidak mencapai tujuan asal.

Tujuan asal ialah untuk bawa mereka tinggal di sini, mungkin mereka dapat mengajak keluarga mereka ke sini dan berbelanja di sini. Maka, perbelanjaan itu dapat membantu ekonomi negara," kata Saarani dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini.

Tambahnya, program MM2H diperkenalkan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2002 dengan tujuan menarik warga asing untuk tinggal dalam jangka masa panjang di Malaysia dengan membolehkan warga asing yang memenuhi syarat-syarat menetap di Malaysia sebagai Rumah Kedua mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM