fb fb fb fb fb

Perak arah operasi kuari di Kampung Kelatap dihentikan sementara

Operasi kuari di Kampung Kelatap, Sungai Siput, Perak

TAIPING, 20 Januari- Kerajaan Perak mengarahkan pemberhentian sementara operasi kuari di Kampung Kelatap, Sungai Siput dikuat kuasakan serta merta.

Tindakan segera itu dilakukan susulan aduan daripada penduduk Orang Asli Pos Perwor di kampung terbabit mengenai sumber air bukit mereka telah tercemar.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak operator juga telah membina tangki air tambahan kepada penduduk kampung yang terjejas.

"Oleh yang demikian tindakan pantas telah kita buat dengan membuat siasatan terhadap laporan tersebut.

"Kita telah mengambil langkah segera jadi, MB Incorporated (iaitu) Menteri Besar Incorporated telah mengeluarkan arahan kepada operator supaya memberhentikan sementara untuk membolehkan kerja-kerja remedi dilakukan di atas tempat tersebut," katanya.

Saarani berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping di sini.

Jumaat lalu, lebih 100 penduduk orang asli kampung berkenaan membuat aduan selepas bimbang akan terdedah dengan ancaman penyakit apabila sumber air kegunaan harian tercemar didakwa akibat projek kuari berhampiran penempatan mereka.

SITI AISHAH BINTI MD ISA