fb fb fb fb fb

Perak akan kaji semula aspek keselamatan kawasan ekopelancongan batu kapur

FOTO Facebook Qing Xin Ling Leisure & Cultural Village

IPOH, 9 April- Kerajaan Perak akan mengkaji semula aspek keselamatan kawasan ekopelancongan berasaskan batu kapur yang terdapat negeri itu.

Ia sebagai langkah menjamin keselamatan pelancong dan pengusaha yang beroperasi di kawasan tersebut.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Loh Sze Yee berkata, kajian tersebut akan dilakukan oleh satu jawatankuasa yang disertai agensi berkaitan.

"Sejak sepuluh atau lima tahun ini, terdapat banyak kawasan-kawasan yang dikatakan ekopelancongan telah dibuka.

"Namun begitu pembinaan telah dilakukan pada masa tersebut sebelum pemantauan. Maka banyak bangunan atau kawasan penerokaan tidak mengikuti 'spec' (spesifikasi) atau pada masa itu tiada spec langsung. Jadi kita akan bermesyuarat dengan jawatankuasa tersebut", katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri akan bertindak mengikut syor-syor yang dibuat oleh agensi berkaitan antaranya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak.

Beliau ditemui media, ketika meninjau kawasan insiden di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling di Taman Saikat, Ipoh yang melibatkan seorang pelancong maut ditimpa bongkah batu pada Khamis.

Tambahnya, arahan telah dikeluarkan sebelum ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi menjaga aspek keselamatan dan keselesaan pelancong yang berkunjung ke negeri itu.

ROSLINA BINTI DIN