KUALA LUMPUR, 11 Disember- Pertubuhan Dunia Melayu, Dunia Islam (DMDI), Selangor akan melaksanakan himpunan solidariti 'Selamatkan Hospital, Selamatkan Palestin'.
Menurut Pengerusi DMDI, Datuk Saroni Judi, fokusnya adalah untuk menunjukan rasa tanggungjawab dan solidariti bahawa peperangan yang menyasarkan hospital perlu dihentikan.
"Hospital ini yang paling utama di mana mereka nak lari, lari ke tempat hospital kerana kita tahu peperangan macam mana. Hospital ini tempat yang selamat yang tidak boleh dikacau sepatutnya," katanya selepas menjadi tetamu program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Angkasapuri Kota Media di sini.
Menurutnya lagi, melalui solidariti tersebut juga dapat menunjukkan kebersamaan rakyat Malaysia dalam mempertahankan isu Palestin.
Himpunan itu juga turut disokong Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta badan bukan kerajaan (NGO) dan akan dilaksanakan pada 15 Disember 2023 di Stadium Dataran Kajang.