fb fb fb fb fb

Penyusunan semula jadual persekolahan tidak jejas sesi persekolahan 2024/2025 - KP Pendidikan

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan

JOHOR BAHRU, 10 Mac - Sesi persekolahan 2024/2025 tidak terjejas meskipun penyusunan semula jadual persekolahan mula dibuat tahun ini.

Ini bagi membolehkan sesi persekolahan 2026 kembali bermula pada Januari.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata kurikulum persekolahan berjalan seperti biasa iaitu 190 hari setahun.

"Mungkin akan ada perubahan sedikit berkaitan tempoh cuti penggal persekolahan yang kita pendekkan. Tapi itu sifatnya sementara bila dah kembali kepada sesi persekolahan asal kita akan kembali seperti sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, di sini.

Sesi persekolahan Kumpulan A bermula hari ini bagi empat negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu melibatkan seramai lebih 1.44 juta murid dan pelajar prasekolah sehingga Tingkatan enam.

Di Johor, seramai 602,619 murid dan pelajar telah memulakan sesi persekolahan mereka hari ini.

Sebelum ini, susulan penularan COVID-19, sesi persekolahan baru dianjak ke bulan Mac bermula tahun 2022 dan ia dikekalkan bagi takwim 2023.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN