fb fb fb fb fb

Penyewa PPR culas bayar sewa akan 'diburu' pasukan task force

Foto BERNAMA

IPOH, 27 Februari- Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mewujudkan 'task force' bagi menangani penyewa yang culas membayar sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata ia bagi memastikan kelangsungan pentadbiran LPHP.

Jelasnya, 'task force' tersebut akan mengambil pendekatan konsultasi secara bersemuka apabila notis tidak diendahkan penyewa sebelum tindakan mahkamah diambil.

"Pada tahun 2023, usaha ini dilihat membuahkan hasil di mana kutipan tunggakan meningkat kepada RM1,428,920 berbanding kutipan pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM919,334," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Simpang Pulai Wong Chai Yi pada Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Negeri yang ke-15 di sini.

Mengulas mengenai permohonan PPR, setakat ini seramai 950 orang masih dalam status calon simpanan.

Ujarnya, bagi mengekalkan rumah PPR sebagai rumah transit untuk membantu lebih ramai rakyat dalam jangka masa panjang, keputusan untuk menaikkan kadar sewa setiap kali pembaharuan kontrak sewaan iaitu tempoh dua tahun dibuat sebagai usaha memendekkan tempoh menunggu berkuat kuasa 1 Januari 2024.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM