fb fb fb fb fb

Penyelidik, pelajar UPM kaji Hutan Gelam

Foto kenangan para penyelidik dan pelajar dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Pertanian, UPM.

SERDANG, 24 Mei- Penyelidik, pelajar dan staf Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyertai Ekspedisi Saintifik Wetland Gelam Eko Park bagi menjalankan penyelidikan Hutan Gelam di Tok Bali, Kelantan, baru-baru ini.

Ketua Projek Sains Sosial, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata objektif utamanya untuk memperkenal hutan itu sebagai produk ekopelancongan kepada masyarakat, serta menjalankan penyelidikan di kawasan itu.

"Ekspedisi kali ini adalah untuk mengumpulkan data dan informasi berkenaan dengan tarikan Hutan Gelam, daripada segi sains dan sains sosial kepada penduduk tempatan dan pelancong luar.

"Melalui dapatan ini kita akan mengenal pasti perspektif masyarakat dan mencari penyelesaian untuk kita bantu masyarakat di sini bagi mempertingkatkan keterlihatan Hutan Gelam yang menarik untuk diterokai umum,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Siti Suriawati, Hutan Gelam yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti boleh menarik minat pelancong dan penyelidik.

"Selain daripada Hutan Gelam, kawasan Tok Bali mempunyai beberapa pantai yang popular dalam kalangan penduduk tempatan seperti Pantai Air Tawar, Bisikan Bayu, Tok Bali dan Pantai Melawi.

"Pada masa ini terdapat kekurangan data dan inventori sumber mengenai kawasan tersebut dan melalui ekspedisi ini yang mengabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang dan agensi amat diperlukan untuk mempersiapkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Terdahulu, tiga penyelidik, tiga pelajar sarjana dan kakitangan FHAS menyertai penyelidikan tersebut.

Penyelidikan itu turut diwakili pensyarah dan penyelidik dari Fakulti Pertanian UPM.

Ekspedisi itu juga melibatkan 101 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar dan staf dari beberapa universiti awam antaranya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia yang julung kali diadakan merupakan anjuran Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Kelantan bersama-sama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM