DUNGUN, 22 September- Seorang penyelam ditemukan lemas ketika sedang melakukan aktiviti selaman dalam kejadian di Pulau Tenggol, di sini, Terengganu semalam.
Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, mangsa, Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah, Penguasa Polis (SP) Maizura Abdul Kadir berkata mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat perumahan di Kuala Lumpur datang ke pulau tersebut bersama 27 penyelam lain.
Maizura berkata ketika kumpulan tersebut selesai melakukan selaman di kawasan Pulau Tokong Timur, ketua penyelam menyedari ketiadaan mangsa semasa mengira penyelam di permukaan laut.
Menyedari keadaan tersebut, ketua penyelam bersama seorang pembantu telah menyelam kembali sebelum menemukan mangsa terdampar di dasar laut.
Maizura berkata mangsa telah diberikan rawatan kecemasan ketika dalam perjalanan pulang ke jeti bot di Kuala Dungun.
Namun Nur Atiqah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dan mayatnya dibawa ke unit forensik untuk proses bedah siasat.