BANDA HILIR, 26 Januari- Penyedia perkhidmatan telekomunikasi diminta mengambil tindakan segera untuk menambah baik perkhidmatannya di Melaka terutama di kawasan tumpuan pelancong.
Laporan penambahbaikan perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Tindakan dibuat selepas Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) yang dilaksana di sepanjang Sungai Melaka bermula dari Jeti Hotel Casa Del Rio ke Pengkalan Rama merekodkan lima panggilan terputus.
Sepanjang perjalanan kira-kira 40 minit itu, pegawai-pegawai MCMC menjalankan ujian dengan menggunakan peralatan khas pengujian Nemo Walker Air.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pemilihan Melaka sebagai negeri kedua pelaksanaan Ujian itu selaras dengan statusnya sebagai negeri pelancongan yang sentiasa menjadi tumpuan ramai.
“Ujian kali ini dilakukan di salah sebuah kawasan tumpuan pelancong dan sangat sinonim dengan Melaka iaitu Melaka River Cruise. Ujian ini adalah simbolik kepada sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada Kerajaan Persekutuan dalam mendukung inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang sedang menganjurkan Tahun Melawat Melaka 2024”, katanya kepada media selepas ujian itu di laluan sepanjang kira-kira 4.5 kilometer di Sungai Melaka.
Ujian melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih CelcomDigi, Maxis, Unifi Mobile dan YES (YTL).
Selain itu, ujian kelajuan muat turun jalur lebar tanpa wayar turut dijalankan di sepanjang laluan itu dan secara purata mencatatkan lebih 100Mbps bagi kesemua penyedia perkhidmatan.
Terdahulu pada 9 Januari lalu, Fahmi menyertai ujian berkenaan yang dilakukan dari Parlimen ke Kementerian Komunikasi, Putrajaya.