KLANG, 8 Jun- Kerajaan akan mempergiatkan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya golongan petani berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata perkara pertama perlu diperjelaskan adalah permohonan skim penyasaran bahan api bagi golongan petani tidak hanya terhad kepada skim BUDI Agri-Komoditi semata-mata.
“Mereka perlu dijelaskan tentang kriteria serta skim lain yang boleh dimohon seperti jika mereka atau syarikat mempunyai kenderaan mengangkut barangan, mereka juga boleh memohon bantuan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) merangkumi 23 jenis kenderaan yang masih diberi harga semasa.
"... jadi tidak ada isu yang (kos) mereka naik dan mereka perlu menaikkan harga kerana harganya akan sama macam sekarang," katanya pada sidang media selepas sesi ramah mesra dan soal jawab kumpulan sasar Hari Terbuka BUDI MADANI Agro-Komoditi di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Amir Hamzah berkata dengan memahami kriteria dan skim lain ditawarkan oleh kerajaan kepada golongan berkenaan, beliau yakin isu berkaitan petani terpaksa menaikkan barang berikutan penyasaran bahan api itu boleh dielakkan.
Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini BUDI MADANI telah menerima sebanyak 60,000 permohonan dengan 30,000 telah diluluskan meliputi pemohon dalam kalangan individu, petani dan pekebun kecil komoditi.
Mereka akan menerima bantuan subsidi tunai melalui inisiatif itu pada Isnin ini.
Bagi membantu golongan petani, kerajaan juga sedang berbincang berkenaan penyasaran subsidi kepada alatan pertanian yang menggunakan diesel, katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata kementeriannya terbuka untuk menerima sebarang aduan atau cadangan daripada golongan petani berkenaan pelaksanan inisiatif berkenaan bagi memastikan ia dapat dijalankan dengan baik.- BERNAMA