fb fb fb fb fb

Penyasaran semula subsidi RON95 akan guna data PADU

Foto RTM

KUALA LUMPUR,11 Julai -Satu keputusan dasar telah ditetapkan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi RON95 menggunakan sepenuhnya data daripada Pangkalan Data Utama (PADU).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata perkara itu masih lagi diperhalusi daripada segi mekanisme penyasaran dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

"Pada masa akan datang kerajaan akan menggunakan data PADU bagi pelbagai kegunaan yang dibangunkan oleh pelbagai agensi dalam usaha untuk menambah baik perancangan program sosioekonomi terutamanya dalam mengoptimumkan sumber, mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat", katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.

Dalam pada itu, Rafizi turut berkata bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang pangkalan data berbentuk isi rumah, sebelum sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dilaksanakan.

Ujar Rafizi, pangkalan data sedia ada sebelum ini hanya melibatkan pangkalan data individu; mewujudkan kemasukan dan pengecualian data mengelirukan serta boleh diragui. 

Jelasnya, PADU kini berada pada fasa dua, melibatkan  proses menganalisa data  bagi  menentukan isi rumah, perbelanjaan asas kehidupan wajar dan pendapatan boleh guna bersih. 

"Penambahbaikan sistem PADU bagi menjamin keselamatan data dan ketersediaan sistem untuk dibuka semula turut dilaksanakan. Kita sedia maklum bahawa salah satu daripada objektif utama PADU ialah mempunyai satu pangkalan data bersepadu yang dinamik sehingga dapat memenuhi ciri-ciri 'real time' (masa nyata) yang tidak perlu dikemas kini secara pemutihan dan sebagainya.

"Jadi sudah tentu ia perlu melalui proses yang seterusnya, yang mana PADU dibuka untuk dikemas kini secara berterusan dan berkala dan proses itu sekarang sedang berlaku termasuk modul-modul yang membolehkan perkara  itu dilaksanakan", kata Rafizi di Parlimen hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD