fb fb fb fb fb

Penutupan Puspakom Wangsa Maju dilanjutkan hingga 30 Jun 2026

Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Pengoperasian Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) cawangan Wangsa Maju yang dijadualkan tutup pada Jun depan, akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2026.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ia berikutan fasiliti baharu yang terletak di Bukit Beruntung masih dalam pembinaan.

"Pemindahan cawangan Puspakom Wangsa Maju ini telah pun dinyatakan beberapa tahun lalu, sejak kali pertama saya jadi menteri. Lorong masuk terhad selain berhampiran dengan sekolah di sini menyebabkan kesesakan.

"Mereka pun sudah bersedia untuk berpindah satu cawangan baharu yang sednag dibina di Bukit Beruntung, Rawang dan rancangan awalnya akan dipindahkan pada akhir bulan Jun ini tetapi pembinaan belum selesai.

"Rancangan kita di sini bersama dengan ibu pejabat Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) untuk merancang semula. Proses itu sedang dibuat oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS)," katanya.

Beliau menjelaskan demikian selepas membuat tinjauan pengoperasian PUSPAKOM di cawangan Wangsa Maju di sini.

Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap cawangan Wangsa Maju kementerian merancang menyediakan lebih banyak lokasi pemeriksaan kenderaan bermula tahun depan.

Tinjauan berkenaan turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman.

Sebelum ini, Puspakom mengumumkan akan menutup operasinya di Wangsa Maju selewat-lewatnya Jun ini selepas menerima arahan daripada Kementerian Pengangkutan.

Dalam pada itu Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mempertimbangkan pengecualian larangan waktu puncak kepada kenderaan berat yang perlu menjalani pemeriksaan di Puspakom.

Namun menurut Anthony kementerian telah melakukan satu sesi libat urus bersama Kementerian Kerja Raya berhubung perkara itu dan pemilik kenderaan berkenaan perlu mengemukan slip tempahan sah kepada pihak penguat kuasa berkaitan.

"Saya dimaklumkan kenderaan berat yang mempunyai tempahan Puspakom akan berkumpul lebih awal dari pusat tempahan kerana kenderaan mereka tidak boleh berada di atas lebuh raya pada pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 petang termasuk menyumbang kepada kesesakan di premis pemeriksaan," katanya

Pengecualian diberikan susulan peluasan larangan pergerakan kenderaan berat pada waktu puncak bermula 19 Februari lalu seperti diumumkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Sebagai langkah penambahbaikan, MOT turut memanjangkan tempoh pemeriksaan awal Puspakom daripada 14 hari kepada 30 hari sebelum tarikh tamat Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Perkara itu bagi memudahkan pemilik kenderaan untuk merancang masa bagi tujuan pemeriksaan berkala serta mendapatkan slot tempahan pemeriksaan di Puspakom dengan lebih awal.

Langkah penambahbaikan berkenaan akan berkuat kuasa bermula 17 Mac ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI