
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Malaysia menggesa agar pintu Masjid Al-Aqsa dibuka dengan segera selain menyifatkan tindakan berterusan tentera Israel menutup pintu berkenaan sebagai melampau dan bertentangan dengan prinsip kemanusiaan.
- Malaysia menggesa pembukaan segera Pintu Masjid Al-Aqsa, menyifatkan penutupan berterusan sebagai melampau dan bertentangan prinsip kemanusiaan.
- Perdana Menteri: penutupan menafikan hak umat Islam beribadah pada penghujung Ramadan dan memasuki Syawal.
- Kerajaan diminta bertindak lebih dari kenyataan, memberi tekanan nyata; Malaysia terus bersolidariti dan bertindak sedaya mampu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook menegaskan tindakan tersebut seolah-olah menafikan hak umat Islam untuk beribadah sepanjang akhir Ramadan serta memasuki Syawal.
“Tindakan Israel itu juga tidak mempunyai sebarang asas yang sah dari segi undang-undang, moral mahupun prinsip kemanusiaan yang tulen.
“Penutupan berterusan Masjid berkenaan juga merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa,” menurut hantaran itu.
Beliau turut menyeru semua kerajaan yang mempunyai pengaruh sebenar dalam isu berkenaan supaya melangkaui kenyataan semata-mata dan memberikan tekanan bagi memastikan pembukaan pintu Masjid Al-Aqsa.
Malaysia juga akan terus bersolidariti bersama-sama rakyat Palestin dengan terus bersuara dan bertindak sedaya mampu.