fb fb fb fb fb

Penutupan beberapa laluan sempena Karnival Rakyat Pahang

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman (tengah) bercakap dalam satu sidang media

KUANTAN, 2 Februari - Beberapa lencongan dan penutupan jalan di beberapa lokasi di Kuantan akan dilakukan sempena Karnival Rakyat Pahang yang berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan dan Padang Kemunting, bermula hari ini hingga Sabtu.

Penutupan jalan penuh dan berkala adalah bagi memastikan aspek keselamatan khususnya terhadap orang ramai yang hadir ke karnival itu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata lebih 900 pegawai dan anggota Polis Pahang telah ditugaskan sepanjang karnival tersebut berlangsung.

"Terdapat juga jalan-jalan yang ditutup secara berkala iaitu melibatkan Jalan Tanah Putih menghala ke Bandar Kuantan, bermula lampu isyarat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke persimpangan Jalan Mat Kilau, Jalan Tanah Putih menghala ke Gambang, bermula lampu isyarat Esplanade ke Jalan Kemunting. Jalan-jalan ini mula ditutup bermula 2 hingga 4 Februari," kata Yahaya kepada media, di sini.
 
Tambahnya jalan yang ditutup sepenuhnya melibatkan Jalan Tanah Putih, ditutup kedua-dua arah bermula 30 Januari hingga 4 Februari.

Pengguna yang melalui jalan itu boleh melalui Jalan Dato Wong Ah Jang, Jalan Kemunting, Jalan Pintasan Kuantan, Jalan Tanjung Lumpur ke Jambatan Putra sebagai jalan alternatif.

Pada kemuncak karnival esok, dijangkakan lebih 50,000 pengunjung akan hadir dan jalan terlibat akan ditutup bermula pukul 7.00 malam.

"Jalan yang ditutup ialah Jalan Tanjung Lumpur dari Serambi Teruntum ke Lampu Isyarat Teluk Sisek hingga Jalan Teluk Sisek ke Jalan Besar dan Jalan Tanah Putih hingga ke lampu isyarat Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan sentiasa mematuhi arahan.

TETITIA YUSOFF