KOTA KINABALU, 26 Oktober - Penurunan harga petrol RON95 yang turut dinikmati rakyat Sabah dan Sarawak adalah satu keadilan kepada penduduk di kedua-dua negeri berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Sabah dan Sarawak juga turut menikmati harga diesel lebih rendah walaupun kenaikan harga minyak diesel telah dilaksana di Semenanjung Malaysia.
"Esok untuk tentera dan polis, 30 hari bulan, Malaysia satu-satu negaranya, termasuk Sabah, minyak turun. Untuk Sabah, Sarawak, boleh naik di tempat lain, walaupun untuk rakyat tak naik. Di Sabah tak naik. Kerana apa? Kerana Sabah dan Sarawak itu, ia Malaysia tahun 1963. Dan Melayu, Semenanjung, Merdeka 1957.
"Jadi kita ke depan sedikit. Ini kita kena jaga. Beri perkembangan khas kepada Sabah dan Sarawak.Bila naik, naik di Sabah. Bila turun, turun. Naik, naik di Semenanjung.Bila turun, turun di Semenanjung. Ini keadilan yang kita lakukan," kata beliau ketika berucap pada Perhimpunan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni, Inanam, di sini hari ini.
Perdana Menteri turut berkata Sabah turut menikmati lebih banyak projek pembangunan selaras dasar Kerajaan Madani yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat.
"Projek-projek rakyat, lebih banyak di Sabah. Lebih banyak yang saya belanja di Sabah dari di tampung di tempat saya. Jadi kita kena ingat sebab Sabah hadapi masalah. Saya pergi ke sekolah. Sekolah rendah, pecah-pecah. Ini saya ingat. Naik mesti bangunkan semua. Ini dasar kita. Jaga kepentingan Melayu," katanya.
Dalam pada itu, Anwar sekali lagi menegaskan, hubungan baik dua hala antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah penting bagi membolehkan pembangunan dilaksana oleh Kerajaan Persekutuan.
"Hari Isnin saya kata cuba cari jalan berapa puluh juta (ringgit) diperlukan untuk bangunkan satu blok sekolah yang tadi yang terkesan daripada banjir. Beberapa minggu lalu saya dapat laporan. Institut Perguruan Kent rosak, cerun runtuh. Minggu lalu saya lihat, dua minggu lalu itu. Saya pergi, kita luluskan. Satu maktab perguruan itu rosak.
Tapi dibangunkan di situ. Siapa yang bangunkan? Kerajaan Persekutuan? Sebab itu hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutuan mesti baik. Kalau cakap sombong tak dapat buat apa? Rakyat yang susah," kata beliau.