IPOH, 28 Ogos - Seorang remaja lelaki cedera selepas motosikal ditunggangnya dihempap sebatang pokok yang tumbang di Tebuk Panchor Jalan Ban Pisang di Bagan Serai, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.55 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai ke lokasi kejadian.
Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang berusia 18 tahun sedang dalam perjalanan menghala ke Bukit Merah.
"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan belakang badan dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan," katanya.
Sabarodzi berkata bomba memotong pokok yang tumbang itu dan operasi selesai sepenuhnya pada 12.38 tengah malam.- BERNAMA