KUALA LUMPUR, 26 Mac- Penulis dan penerbit buku di Malaysia perlu diberi ruang untuk berkarya secara lebih bebas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan sahaja memberi ruang dalam menerbitkan karya yang lebih hebat malah mampu memupuk pemikiran kritis dalam kalangan pembaca.
"Jadi mesti diberikan ruang sedikit untuk kita berkarya dengan bebas. Saya beritahu kepada saudari Fadhlina dan juga Menteri Pendidikan Tinggi, sekolah, universiti kita beri ruang, menimba ini juga bermakna melatih mereka lebih kritis, dia ada juga 'critical thinking', harus ada begitu", katanya.
Beliau berucap dalam Majlis Perasmian Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Seminar tersebut membawa tema “Memperkasakan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu” sebagai wadah dalam membicarakan isu-isu dan cabaran dalam dunia penerbitan masa kini termasuk isu hak cipta.