fb fb fb fb fb

Penubuhan Sekolah Bajau Laut Omadal perlu perbincangan lanjut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Disember- Penubuhan Iskul Sama Dilaut Omadal atau Sekolah Bajau Laut Omadal memerlukan perbincangan lebih lanjut daripada pelbagai kementerian dan agensi sebelum mengambil sebarang tindakan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran itu adalah tertakluk kepada keputusan dasar oleh kerajaan.

"Perkara ini memerlukan perbincangan lanjut merentasi kementerian dan agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM), pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Termasuk meneroka opsyen seperti model pelaksanaan sekolah bimbingan jalinan kasih (SBJK) yang dijalankan di beberapa tempat sebagai langkah KPM dalam berhadapan dengan isu ini," kata kenyataan itu.

Kenyataan KPM turut menegaskan, Malaysia bukan negara pihak kepada Perjanjian Status Pelarian 1951 atau Protokol Pelarian 1967 bawah Persatuan Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun penubuhan PBA merupakan satu inisiatif kemanusiaan oleh kerajaan untuk pendidikan kepada kanak-kanak pelarian bagi menyediakan mereka untuk penghantaran ke negara ketiga.

Penubuhan PBA adalah tertakluk kepada ketetapan kerajaan dengan mengambil kira aspek pematuhan undang-undang dan peraturan berkaitan pelarian iaitu Arahan Majlis Keselamatan Negara iaitu Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (Semakan 2023) serta keselamatan negara.

Tambah KPM, Persatuan Pendidikan Bajau Laut telah mengemukakan permohonan PBA kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada 30 Oktober lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI