fb fb fb fb fb

Penubuhan MPP: Langkah baharu autonomi Parlimen

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Februari – Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dijangka memberi autonomi lebih besar kepada institusi Parlimen menerusi penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP).

Majlis itu akan berperanan mengurus hal ehwal dalaman Parlimen, termasuk pentadbiran, kewangan serta dasar berkaitan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menyifatkan MPP sebagai sebuah "kabinet kecil" yang bertanggungjawab dalam pengurusan Parlimen.

“Majlis ini diketuai bersama oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara serta dianggotai Timbalan Yang Dipertua kedua-dua dewan, dua Ahli Dewan Negara, empat Ahli Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Ketua Setiausaha Perkhidmatan Awam dan Ketua Pentadbir Parlimen sebagai anggota ex-officio,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, di sini.

Johari menegaskan, setiap perbelanjaan MPP akan tertakluk kepada prosedur ketat serta pemantauan audit bagi memastikan ketelusan kewangan.

Selain itu, RUU tersebut akan memperkenalkan model hibrid di mana pegawai perkhidmatan awam mengurus sumber manusia, pentadbiran, dan kewangan, manakala pengurusan Dewan serta Jawatankuasa Pilihan dikendalikan oleh anggota Perkhidmatan Parlimen.

Langkah itu dijangka memastikan kelancaran operasi Parlimen, mengekalkan kepakaran perundangan, serta membuka peluang kerjaya yang lebih fleksibel dalam institusi tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN