Penstrukturan HRD Corp, fokus perkukuh tadbir urus

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Februari– Penggantungan beberapa pegawai Human Resources Development Corporation (HRD Corp) bukan bertujuan melakukan “pembersihan”, sebaliknya merupakan sebahagian daripada proses penstrukturan dan penambahbaikan organisasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggantungan pegawai HRD Corp sebahagian daripada proses penstrukturan, bukan pembersihan politik.
  • Hanya individu berkelayakan dan profesional akan dilantik dalam struktur baharu.
  • Siasatan isu berbangkit berjalan; keputusan muktamad selepas siasatan selesai.
  • Fokus utama adalah memperkukuh tadbir urus dan memastikan pematuhan piawaian pelaksanaan program.

Menteri Sumber Manusia, R. Ramanan, menegaskan hanya individu yang benar-benar berkelayakan akan dilantik mengisi jawatan dalam struktur baharu itu, walaupun terdiri daripada ahli parti politik.

Menurut beliau, siasatan berhubung isu berbangkit masih berjalan dan sebarang keputusan muktamad hanya akan ditentukan selepas proses tersebut selesai.

“Kita biar siasatan habis dahulu. Sama ada salah laku atau tidak, itu akan ditentukan selepas siasatan selesai. Buat masa ini, kita sedang membuat penambahbaikan.”

“Kita sedang menaik taraf. Kita mahu memastikan semua mekanisme dan sistem yang betul diletakkan supaya tidak berlaku sebarang masalah pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MyFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC), hari ini.

Langkah penstrukturan itu dibuat susulan beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini, termasuk dapatan oleh Jabatan Audit Negara yang menyorot aspek tadbir urus dan pengoperasian agensi berkenaan.

Ramanan berkata, struktur baharu HRD Corp dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan hingga hujung Mac.

Namun, proses penambahbaikan akan terus dilaksanakan memandangkan agensi itu mengurus dana berskala besar.

“Struktur HRD Corp sedang dilengkapkan dan dijangka siap sepenuhnya sekitar pertengahan hingga hujung Mac. Namun seperti mana-mana organisasi besar yang menguruskan dana berbilion ringgit, sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan. Justeru, proses ini akan berterusan,” katanya.

Mengulas persoalan sama ada pelantikan baharu akan bebas daripada pengaruh politik, beliau menjelaskan keutamaan diberikan kepada individu profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan.

Antara lantikan yang dibuat termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkaitan kerajaan serta bekas pegawai kanan perbendaharaan.

“Setakat ini, kita telah membuat beberapa lantikan profesional. Namun saya tidak mengatakan bahawa individu yang mempunyai latar belakang parti politik tidak boleh dilantik.”

“Jika mereka layak, berkeupayaan melaksanakan tugas dengan baik serta mematuhi tata kelola dan peraturan yang ditetapkan oleh HRD Corp, maka ia bukan satu masalah,” katanya.

Beliau menegaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah memperkukuh tadbir urus serta memastikan semua program dan inisiatif di bawah HRD Corp dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.