fb fb fb fb fb

Pensijilan Halal Malaysia kekal unggul 10 tahun berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 3 Januari- Pelaksanaan Business Process Engineering dan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 berjaya mengekalkan kedudukan Malaysia di tempat pertama daripada 81 buah negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datin Paduka Hakimah Mohd. Yusoff menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah kelulusan permohonan bagi tahun 2023 adalah sebanyak 8,509 permohonan.

Sementara itu kira-kira 132,106 produk meliputi skim produk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, bahan gunaan dan peranti perubatan telah dipersijilkan halal.

"Berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023 yang dikeluarkan oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023.

"Perkara ini menunjukkan industri halal Malaysia semakin berkembang pesat jika dibandingkan dengan negara-negara lain," kata kenyataan itu.

Pencapaian tersebut turut berjaya mengekalkan kedudukan Malaysia di tempat pertama daripada 81 buah negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Bagaimanapun JAKIM akan memastikan pencapaian itu akan dikekalkan selain memberikan komitmen penuh badi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia berada pada tahap terbaik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI