
KUALA LUMPUR, 13 Mac – Isu rumah tidak terjual kekal menjadi antara cabaran utama pasaran hartanah negara meskipun prestasi keseluruhan industri dilihat masih stabil.
- Penolakan pinjaman pembiayaan akhir dikenal pasti REHDA sebagai punca utama rumah tidak terjual berdasarkan Tinjauan Sentimen Industri Hartanah.
- Kira-kira 60 peratus responden memiliki unit siap belum terjual; NAPIC catat sekitar 30,000 unit, banyak stok sudah berada di pasaran bertahun-tahun.
- Faktor penolakan termasuk ketidaklayakan pendapatan, rekod kredit kurang baik dan dokumentasi kewangan tidak mencukupi.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Ho Hon Sang berkata penolakan pinjaman pembiayaan akhir dikenal pasti sebagai punca utama kepada masalah tersebut berdasarkan tinjauan Sentimen Industri Hartanah yang dijalankan oleh persatuan itu.
Jelasnya, terdapat kira-kira 60 peratus responden juga mempunyai unit kediaman siap yang masih belum terjual setakat 31 Disember 2025.
“Jika merujuk laporan NAPIC, terdapat kira-kira 30,000 unit siap tidak terjual. Namun, daripada jumlah itu, lebih 15,000 unit, malah melebihi 16,000 unit, merupakan stok yang telah berada dalam pasaran selama antara 6 hingga 10 tahun.
“Terdapat kemungkinan sebahagian unit itu sebenarnya telah dijual tetapi tidak dilaporkan kepada NAPIC, atau masih dipegang pemaju untuk tujuan sewaan, kegunaan sendiri dan sebagainya,” katanya dalam sidang media Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2025 serta Prospek Pasaran 2026 Wisma Rehda, di sini.
Tambahnya, pemaju turut mengenal pasti ketidaklayakan pendapatan pembeli, rekod kredit yang kurang memuaskan serta dokumentasi kewangan yang tidak mencukupi sebagai antara faktor utama penolakan pinjaman pembiayaan akhir.
Sementara itu katanya, Tinjauan Sentimen Industri Hartanah yang melibatkan 107 ahli REHDA turut mendapati 83 daripadanya melancarkan projek pada separuh kedua 2025.
Daripada jumlah itu, 29 peratus melaporkan prestasi jualan lebih baik berbanding separuh tahun sebelumnya, manakala sentimen optimis terhadap pasaran bagi 2025 meningkat kepada 33 peratus berbanding 27 peratus pada separuh pertama tahun berkenaan.