KUALA LUMPUR, 17 Februari- Penjenamaan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan dibuat berdasarkan manfaat serta fungsi yang dimainkan pusat komuniti itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, keputusan dibuat bagi memperluas fungsi PEDi dalam kalangan rakyat sekali gus memanfaatkan pelbagai prasarana yang disediakan.
"Ini kita lihat secara keseluruhan, ia bukan sekadar nama tapi ia lebih sesuai manfaat dengan fungsi yang mana Perdana Menteri telah minta para pengurus PEDi ditambah elaun, ditambah beberapa fungsi dan tugas selepas ini.
"Namanya belum lagi diputuskan tapi kita lihat yang utama daripada segi fungsi tambahan. Saya sebut tadi kekangan kita lingkungan 2-3 km yang datang sebab PM pada Februari lalu minta satu DUN satu PEDi tapi ada setengah DUN besar,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatan Parlimen Lembah Pantai di ibu negara, hari ini.
Jelasnya, penjenamaan semula itu juga turut melibatkan hubungan erat PEDi dengan beberapa agensi berkaitan antaranya badan bukan kerajaan, Rukun Tetangga dan Jabatan Penerangan.
Kehadiran pengunjung juga tidak terhad kepada aktiviti ekonomi semata-mata tetapi turut menjadikan PEDi sebagai pusat informasi dan pelbagai perkhidmatan lain.
Setakat ini, terdapat 911 PEDi di seluruh negara dengan tambahan 186 pusat komuniti itu menjelang akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,097 PEDi pada masa akan datang.
PEDi sebelum ini dikenali sebagai Pusat Internet Desa (PID) yang sebelum itu dinamakan sebagai Pusat Internet Komuniti selepas penjenamaan semula terhadap Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang ditubuhkan pada 2013.