KUALA LUMPUR, 22 Mac – Kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai konsep waqaf perlu diperluas bagi mengelakkan kekeliruan, kerana ia mempunyai objektif yang lebih luas daripada sekadar pembinaan masjid dan tanah kubur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata waqaf juga meliputi aspek kesihatan dan pendidikan, termasuk pembinaan hospital dan sekolah.
"Sebenarnya objektif waqaf ini lebih luas. Oleh itu, saya telah mengarahkan JAWHAR dan Yayasan Waqaf untuk memperhebatkan penerangan serta penjelasan kepada masyarakat tentang maksud dan tujuan waqaf," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program Rahmah Madani Ramadan MAIWP: Shopping Pakaian dan Keperluan Raya Asnaf 2025M/1446H di ibu negara.
Tambahnya, harta yang telah diwakafkan akan kekal selama-lamanya dan tidak boleh diubah atau dijadikan harta pusaka selepas pewakaf meninggal dunia.