
SHAH ALAM , 27 Februari – Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri (IKSA) 2026 berjumlah RM66.25 juta sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
- Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Insentif Khas Kita Selangor Aidilfitri 2026 berjumlah RM66.25 juta.
- Penjawat awam negeri dapat satu bulan gaji atau minimum RM1,000; pembayaran gaji diawalkan untuk persiapan Aidilfitri.
- Bantuan khas turut termasuk elaun untuk pemimpin masyarakat, petugas masjid, guru rakyat, wartawan WAJAR dan penjawat Persekutuan berpendapatan rendah.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, insentif yang akan disalurkan mulai 19 Mac itu merangkumi bayaran satu bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri.
Pemimpin masyarakat pula menerima satu bulan elaun atau minimum RM500, manakala petugas masjid dan guru rakyat menerima RM500.
Seramai 50,000 penjawat awam Persekutuan bergaji RM3,000 ke bawah yang berkhidmat di Selangor turut menerima RM300.
Selain itu, pembayaran gaji penjawat awam negeri diawalkan dari 16 Mac kepada 13 Mac bagi memudahkan persiapan Aidilfitri.
Turut diumumkan bantuan RM1,000 kepada wartawan dan jurugambar yang berdaftar dengan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).
“Keseluruhannya penjawat awam Persekutuan yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah daripada pelbagai institusi yang dibayar oleh KKM, pendidikan dan sebagainya.
“Juga tahun ini untuk komuniti wartawan yang berdaftar di bawah WAJAR, wartawan, kamera dan juga pasukan yang kita bagikan duit raya RM1,000 Jadi itu sedikit beza dia. Insya-Allah kalau pencapaian kita baik juga sebagai mana lazim, akhir tahun nanti kita akan nilai balik untuk pemberian BKK,” kata Datuk Seri Amuridin.
Beliau menyatakannya ketika berucap pada Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam di sini.
Penyaluran ini akan diuruskan melalui Pejabat Menteri Besar Selangor dengan kerjasama Yayasan MBI menjelang Aidilfitri.