fb fb fb fb fb

Penjawat awam Pulau Pinang dapat 'duit raya' setengah bulan gaji

FOTO FB Chow Kon Yeow 曹觀友

GEORGE TOWN, 7 Mac- Kerajaan Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) 2024 berjumlah setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM1,200 kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri.

Bantuan khas itu akan dibayar pada 15 Mac ini membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7.44 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata bantuan berkenaan diberikan sebagai tanda apresiasi dan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam di negeri tersebut.

"Dalam pada itu, BKKA ini turut dipanjangkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri tertakluk kepada keupayaan kewangan masing-masing," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, RM300 turut diberikan kepadapenyelia dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR).

Beliau juga berkata, bantuan khas itu juga akan dibayar kepada kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) selain guru tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE