
JOHOR BAHRU, 13 Mac– Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) 2026 sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak, nyata meringankan beban warga kerja sektor awam khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
- Penjawat awam dan pesara menyatakan syukur serta menghargai keprihatinan kerajaan.
- Bantuan membantu persiapan Hari Raya dan menampung kos perjalanan seperti minyak serta tol.
- Bantuan dikreditkan hari ini dan dikecualikan daripada cukai pendapatan mengikut Subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Tinjauan RTM mendapati rata-rata penjawat awam dan pesara kerajaan yang turut menerima bantuan RM250 menzahirkan rasa syukur dan menghargai keprihatinan kerajaan yang tidak meminggirkan kebajikan mereka.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan penyaluran BKK RM500 hari ini. Terima kasih kepada Kerajaan MADANI, khususnya Perdana Menteri, kerana bantuan ini sedikit sebanyak membantu kami membuat persiapan raya, termasuk menampung kos perjalanan seperti minyak dan tol untuk pulang ke kampung,” kata Mohd Zahid Othman.
“Sebagai pesara, pendapatan kami sudah berkurangan separuh berbanding sewaktu berkhidmat dahulu. Jadi, bantuan ini sangat bermakna dan membantu kami menguruskan perbelanjaan tambahan menjelang musim perayaan ini,” jelas Nordin Abd Rahman, pesara guru.
“Saya sangat bersyukur kerana bantuan RM500 ini diterima tepat pada waktunya. Bagi rakan-rakan beragama Islam, mereka boleh membuat persiapan raya, manakala bagi saya pula, wang ini akan digunakan untuk kos pulang ke kampung di Pulau Pinang nanti,” ujar Komala.
Bantuan tersebut dikreditkan sepenuhnya bermula hari ini dan dikecualikan daripada cukai pendapatan selaras dengan peruntukan Subseksyen 127(3A) Akta Cukai Pendapatan 1967.