fb fb fb fb fb

Penjawat awam persekutuan di Negeri Sembilan terima 'duit raya' RM200

FOTO BERNAMA

SEREMBAN, 7 Januari- Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Sempena Aidilfitri sebanyak RM200 seorang, buat penjawat awam persekutuan yang bertugas di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pemberian bantuan itu melibatkan kira-kira 48 ribu orang penjawat awam persekutuan dengan peruntukan hampir RM10 juta dan akan diberikan sebelum Mac tahun ini.

Jelas beliau, ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan dan kerjasama penjawat awam negeri dan persekutuan dalam menggapai kejayaan Kejaraan Negeri Sembilan pada hari ini.

"Sumbangan RM200 kepada penjawat awam Negeri Sembilan kita sedia maklum penjawat awam di Negeri Sembilan ni ramai hampir 50,000 orang melibatkan tentera, guru-guru dan lain-lain.

"Kita beri RM200 ini sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam kerjasama bersama agensi sedia ada. Ini memberikan kita kejayaan yang kita rasai hari ini," katanya.

Guru, polis dan tentera yang berkhidmat di negeri itu merupakan antara yang akan menerima BKK Sempena Aidilfitri.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Seremban.

Perhimpunan yang dihadiri oleh pelbagai jabatan perkhidmatan awam negeri dan persekutuan itu turut menyaksikan penyerahan sebanyak 13 buah kenderaan pacuan empat roda, 14 buah jentera berat dan 18 unit drone yang menelan belanja sebanyak RM5.59 juta.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE