fb fb fb fb fb

Penjawat awam perlu terap budaya kerja baharu, tambah kecekapan - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Oktober –Kerajaan akan terus berusaha untuk memulih serta menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat. Untuk itu pelbagai langkah termasuk menambah baik insentif sedia ada kepada penjawat awam bakal ditambah baik dalam Belanjawan 2025.

Menyedari isu perumahan untuk kakitangan awam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menyediakan lebih RM1.8 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.

Ke arah sama, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.

Bagi petugas di Kementerian Kesihatan pula, kerajaan bersetuju pelaksanaan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar. Bagi fasiliti perkhidmatan yang mengguna pakai sistem tersebut, Elaun Tugas Atas Panggilan akan dinaikkan antara RM55 hingga RM65 kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan jabatan tertentu.

Selain itu, sejajar dasar pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan memperkenalkan Program APEL.Q bawah kendalian INTAN.

"Bawah program tersebut, kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15 ribu  kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” jelas Anwar ketika mengakhiri pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun perdana menteri mahu keseluruhan pasukan penjawat awam dapat menerapkan budaya kerja baharu sebagai menyemangati maksud memulih serta menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat.

“Sementelahan tidak ada makna sekiranya kebijakan yang kita usulkan tidak dilonjak dengan kecekapan para penjawat awam. Justeru, ketangkasan mesti disemarak dan khidmat bakti kepada rakyat mesti terangkat,” kata Anwar.

Bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja akan diperluas dan dipermudah.

Untuk itu, Kadar Elaun Layanan Sentiasa dinaikkan kepada RM1,500 berbanding RM500 mulai 1 Januari 2025 termasuk kepada penerima sedia ada.

“Bagi anggota pasukan keselamatan dan penguatkuasaan yang hilang upaya kekal semasa dalam operasi, bayaran faedah Ex-Gratia Operasi sehingga RM50 ribu akan diberikan bagi bencana kerja mulai tahun 2024.

“Manakalan bayaran faedah Ex-Gratia Pukal sebanyak RM20 ribu turut diberikan sebagai tambahan kepada waris bagi kes kematian bencana kerja mulai tahun 2024,” tambah perdana menteri yang juga Menteri Kewangan.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM300 ketika ini.

“Kerajaan turut bersetuju melanjutkan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025,” kata Anwar.

Bagi mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk menggalakkan budaya daya cipta, kerajaan akan menganjurkan Anugerah Perkhidmatan Awam MADANI sebagai tanda pengiktirafan dengan pemberian ganjaran sewajarnya.

“Selaras dengan SSPA, pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tambahnya.

MAT YUNUS BIN SABRI