
KANGAR, 14 Mac – Golongan penjawat awam Gred 15 dan ke bawah di Perlis meluahkan rasa syukur apabila menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM500, yang disifatkan amat membantu dalam meringankan beban kewangan menjelang Aidilfitri.
- Bantuan digunakan untuk persiapan Aidilfitri seperti keperluan anak dan kuih raya, meringankan beban susulan kenaikan harga.
- Bantuan dianggap penghargaan terhadap sumbangan penjawat awam, khususnya bagi mereka yang bertugas semasa sambutan Hari Raya.
- Bantuan disalurkan kepada semua penjawat awam termasuk lantikan kontrak; pesara dan veteran tidak berpencen menerima RM250.
Bantuan itu turut dianggap sebagai satu penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat mereka dalam sektor perkhidmatan awam.
Bagi guru, Zaharah Talib yang ditemui RTM berkata, bantuan berkenaan digunakan untuk persiapan menjelang Syawal.
“Sudah tentu, kegunaan bantuan ini untuk hari raya adalah untuk anak-anak, biskut dan persiapan sambutan. Ia memang sangat membantu, terutama dengan kenaikan harga sekarang, kerana bantuan ini meringankan beban kami semua,” katanya.
Penerbit rancangan, Atikah Norddin menyifatkan bantuan itu sebagai penghargaan buat penjawat awam bagi memudahkan persiapan menjelang hari raya.
“Satu nikmat yang memudahkan. Bagi pegawai kerajaan yang bertugas pada hari raya, bantuan ini sebenarnya memberikan satu penghargaan yang sangat bermakna,” katanya.
Sementara itu, pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohamad Rizab Baharom berkata, bantuan berkenaan meringakan perbelanjaan keluarga menjelang Aidilfitri.
“Semalam kami telah menerima Bantuan Kewangan Khas sempena musim perayaan. Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, terutamanya Perdana Menteri, kerana memberikan bantuan RM500. Bantuan ini banyak membantu dari segi persiapan sambutan hari raya dan memang sangat membantu kami,” katanya.
BKK 2026 berjumlah RM500 diberikan kepada semua penjawat awam, termasuk lantikan kontrak yang dibayar semalam.
Selain itu pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen turut menerima RM250.