fb fb fb fb fb

Penjawat awam: Pekeliling SSPA ada penjelasan, gred ditambah baik

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 September - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling terperinci yang memberi tumpuan khusus kepada penambahbaikan gred penjawatan, elaun, dan kenaikan gaji bagi penjawat awam.

Penjawat awam yang ditemui RTM, rata-rata berpendapat Pekeliling 1000 muka surat itu akan memberi impak besar terhadap kesejahteraan kakitangan kerajaan di semua peringkat.

“Pekeliling yang baru dikeluarkan amat terperinci mencakupi semua gred penjawatan, lengkap dan teratur... ada penjelasan, ada gred ditambah baik, dan elaun serta perihal berkaitan penjawat awam diberi keterangan jelas,” kata Affendi Abdul Karim.

“Dengan adanya pekeliling ini sedikit sebanyak membantu kakitangan kerajaan macam saya sebab ada perincian untuk saya tahu," ujar Musa Jaafar yang menyambut baik perubahan tersebut.

“Selepas saya baca pekeliling ini, sedikit sebanyak saya faham mengenai komitmen kerajaan untuk tingkatkan taraf hidup penjawat awam dan memperbaiki kualiti perkhidmatan,” kata Siti Aisha Melisa Yuhaniz.

Penjawat awam turut memuji langkah kerajaan dalam memastikan kebajikan mereka terus dipertingkatkan.

“Setelah saya baca sepintas lalu, saya yakin apa yang dilakukan kerajaan terbaik untuk penambahbaikan sepanjang saya berkhidmat sebagai penjawat awam dan saya yakin ini akan memberi peluang penjawat awam meningkatkan taraf kehidupan mereka,” kata Abdullah Sani Ariff Lokhman.

Berdasarkan dokumen Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 2024, sebanyak 23 skim perkhidmatan telah dijumudkan.

Ini termasuk satu skim di bawah Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jumlah keseluruhan skim perkhidmatan di bawah SSPA kini adalah 199​ berbanding 229 skim di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Perkhidmatan jumud ialah perkhidmatan yang tidak lagi diperlukan (obsolete) berikutan dengan perubahan fungsi perkhidmatan.

Terdahulu, JPA menerusi kenyataan berkata, penjawat awam diberi tempoh 40 hari, bermula dari 21 Oktober hingga 30 November ini untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran SSPA.

"Pilihan perlu dibuat dengan jelas dan tanpa syarat, dan borang opsyen mesti dikembalikan kepada Ketua Jabatan masing-masing dalam tempoh yang ditetapkan.

"Kegagalan mengembalikan borang atau membuat pilihan yang tidak jelas akan dianggap sebagai penolakan opsyen SSPA, dan pegawai tersebut akan kekal dalam skim perkhidmatan yang sedia ada di bawah SSM," katanya.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN