fb fb fb fb fb

Penjawat awam Pahang terima RM1,000 bantuan khas Aidilfitri

Menteri Besar Pahang , Datuk Seri Wan Rosdy pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya ke Pahang di sini, malam tadi.

KUALA LUMPUR, 1 April- Kira-kira 8,000 penjawat awam Pahang bakal menerima bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM1,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkannya pada Majlis Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya ke Pahang di sini, malam tadi

“Saya akan beritahu kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Datuk Seri Zulkifli Yaacob), sudah pasti sebelum hari raya bantuan diterima,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM100 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang sejak diperkenalkan pada 2022 hingga hujung tahun lepas.

Jelasnya antara yang disalurkan menerusi inisiatif itu ialah bantuan RM300 kepada bayi yang lahir di Pahang, bantuan RM100 kepada setiap murid Tahun 1, bantuan RM300 kepada setiap pasangan yang berkahwin kali pertama dan bantuan RM750 kepada setiap jemaah haji.

“Selain itu pada tahun ini, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menubuhkan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan RM5 juta yang merupakan satu lagi inisiatif terbaharu bagi membantu rakyat dalam kalangan B40,” katanya.

Menurut Wan Rosdy kerajaan negeri akan meneruskan Penyerahan Baucar Moh Balik Beraya ke Pahang pada tahun hadapan kerana sambutan luar biasa.

Beliau berkata untuk edisi pertama program itu, sebanyak 5,000 anak Pahang yang berada di perantauan menerima baucar minyak sebanyak RM50 seorang melibatkan peruntukan RM250,000.

Ujarnya lagi jumlah keseluruhan data pemohon untuk bantuan tersebut hingga 24 Mac lepas adalah seramai 22,000 pemohon dan majoriti permohonan diterima dari Selangor dan Kuala Lumpur.

Program itu juga, kata Wan Rosdy memberi peluang kepada perantau anak Pahang untuk beramah mesra dan merapatkan silaturahim dengan kepimpinan negeri.

ZEHRA BINTI ZAMBRI