fb fb fb fb fb

Penjawat awam Pahang terima bonus dua bulan gaji jika capai sasaran

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua, kiri) berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Pahang Bersama Penjawat Awam, hari ini/FOTO BERNAMA

KUANTAN, 9 Januari - Penjawat awam Pahang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji tahun ini sekiranya berjaya mencapai sasaran kutipan hasil RM1.6 bilion seperti yang ditetapkan berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebagai tanda penghargaan serta motivasi kepada penjawam awam di negeri itu yang sedaya upaya meneroka peluang-peluang baharu ke arah menyumbang peningkatan hasil kerajaan negeri.

Wan Rosdy berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah menetapkan kutipan hasil sebanyak RM1.136 bilion bagi tahun 2024.

"Sehingga akhir tahun lalu, kutipan hasil kerajaan negeri Pahang mencecah RM1.306 bilion mengatasi RM1.28 bilion kutipan hasil tahun 2022.

"Walaupun sasaran kita RM1.136 bilion untuk tahun ini, tapi andainya kita boleh mencapai RM1.6 bilion, saya beri jaminan bagi mereka (penjawat awam) dua bulan bantuan khas kewangan kerana saya tahu bukan mudah untuk mendapatkan RM1.6 bilion tanpa membebankan rakyat.

"Kita uruskan ketirisan kebocoran, kita mencari lagi peluang yang ada untuk meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam Negeri Pahang bagi tahun 2024, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai intipati pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya semalam, beliau berkata kerajaan negeri sedang memohon peruntukkan tambahan daripada kerajaan persekutuan.

"semalam saya bersama setiausaha kerajaan negeri pengarah JKR, CEO PAIP, kami telah membawa beberapa permohonan kesemuanya untuk rakyat di negeri Pahang, kerana tahun ini di Pahang ada masalah berhubung jalan terutama jalan persekutuan dan juga masalah bekalan air untuk masyrakat di bandar dan luar bandar.

"Jadi saya telah memohon kepada kerajaan persekutuan untuk memberikan tambahan peruntukkan supaya ia dapat diselesaikan," katanya.

Jelas beliau, Perdana Menteri juga memberi jaminan akan mempertimbangkan permohonan tersebut secara serius berikutan peruntukkan tersebut adalah bagi membiayai kos baik-pulih jalan dan bekalan air di Pahang untuk kemudahan serta keselesaan rakyat di negeri itu.

GRACE AISYAH KEDAYAN