fb fb fb fb fb

Penjawat awam manfaat insentif daripada kerajaan sebaiknya

Penjawat awam, Ruziah Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 12 Februari- Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 yang akan dikreditkan pada 23 Februari ini, dilihat sebagai 'rezeki tambahan' kepada penjawat awam.

Tinjauan RTM mendapati, rata-rata mereka akan menggunakan wang bantuan itu, tidak hanya untuk melengkapkan keperluan persekolahan anak-anak, malah sebagai persiapan hari raya Aidilfitri.

"Saya akan guna untuk buat persiapan hari raya Aidilfitri. Kemudian, nak beli baju sekolah anak-anak saya, ada tiga orang. Bulan Mac nanti, dah buka sekolah," kata Nur Nazifaliana Mohd Razali.

"Banyak perkara boleh kita guna duit bantuan itu.Antaranya, keperluan asas menyambut bulan Ramadan nanti. Selain itu, beli kelengkapan anak bersekolah, baiki kereta dan macam-macam lagi keperluan," jelas Ruziah Mohd Isa.

"Kita boleh guna untuk tampung perbelanjaan keluarga kita, untuk anak yang nak belajar kemudian boleh guna untuk persiapan untuk hari raya Aidilfitri. Insya-Allah," luah Mohd Razali Shafie.

"RM2,000 ini memang banyak, ditambah dengan duit gaji kita sekali. Kena guna duit ini sebaik mungkin sebab kita nak guna untuk tiga perkara iaitu Ramadan, persiapan hari raya Aidilfitri dan pembukaan sekolah," kata Suria Ramli.

"Duit itulah menampung semua perbelanjaan termasuk persiapan di rumah. Semua sekali. Dengan kos yang amat tinggi sekarang ini, saya rasa RM2,000 ini sangat membantu kami semua," kata Fuziah Aziz.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan Bayaran Insentif Awal bernilai RM2,000 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam.

Bayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM