fb fb fb fb fb

Penjawat awam digesa terap nilai H.E.M.A.T

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 25 Jun- Penjawat awam digesa menerapkan nilai H.E.M.A.T dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata, H.E.M.A.T adalah suatu nilai baharu yang perlu dijadikan pegangan dan panduan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut beliau, H.E.M.A.T adalah akronim kepada Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran yang memerlukan penjawat awam menjalankan tugas dengan pengamatan dan penelitian secara mendalam.

"Sekiranya H.E.M.A.T dilaksanakan, insya-Allah pemasalahan yang dihadapi rakyat, kita akan dapat tangani dengan sebaik mungkin dan nilai ini lama kelamaan menjadi satu budaya dalam perkhidmatan awam.

"Kita cuba mengelak daripada berlakunya rungutan dan juga tohmahan daripada rakyat bahawa penjawat awam ini tidak melaksanakan tugas dengan baik, tidak menyelami kehendak rakyat, tidak menyelami denyut nadi rakyat dan sebagainya ...dan saya cuba bawa nilai ini untuk menjadi satu budaya baharu dalam perkhidmatan awam" katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.

Tambahnya, nilai H.E.M.A.T juga sejajar dengan dasar Malaysia MADANI yang sentiasa mendengar dan memahami permasalahan rakyat, serta mengutamakan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM