Pejalan kaki maut dilanggar, polis giat kesan pemandu

NIBONG TEBAL, 22 Oktober – Polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang pejalan kaki yang maut akibat dilanggar kenderaan di Jalan Besar, Simpang Ampat di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis giat menyiasat kemalangan pejalan kaki maut di Jalan Besar, Simpang Ampat.
  • Mangsa meninggal di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala; mayat dihantar untuk bedah siasat.
  • Pemeriksaan CCTV, pengecaman saksi dan pengesanan beberapa kenderaan terlibat sedang dijalankan.
  • Kes disiasat di bawah Seksen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan; orang awam diminta tampil memberi maklumat.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Jay January Siowou.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.35 malam ketika mangsa sedang melintas jalan dari arah Taman Belibis menuju ke Simpang Ampat sebelum dilanggar kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran.

“Akibat insiden berkenaan, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepada disahkan meninggal dunia di lokasi nahas.

“Mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian serta identiti mangsa”, katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya, polis turut melakukan semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian serta mengesan saksi bebas dan beberapa kenderaan terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (1987).

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membuat laporan.